"Aghh, politik kotor. Saya tidak mahu campur!"
Pendapat ini, hanya akan terbit daripada satu antara dua keadaan diri iaitu:
1. EGO. Menganggap semua yang ada di sekelilingnya tidak cukup bagus untuk beliau berpihak.
2. JAHIL. Tidak memahami peringatan Nabi sallallaahu alayhi wa sallam, bahawa hakikatnya, kebaikan di akhir zaman memang berselaput dengan ASAP, rumit untuk dicari, dan hanya boleh ditemui dengan jiwa yang jernih mencari kebenaran. Politik akhir zaman memang sangat kotor, dan ia bukan alasan untuk mengenepikannya.
SUCI DALAM DEBU
كان الناسُ يسألونَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عن الخيرِ ، وكنتُ أسألُهُ عن الشرِّ مخافةَ أن يُدركني ، فقلتُ : يا رسولَ اللهِ ، إنَّا كُنَّا في الجاهليةِ وشرٍّ ، فجاءنا اللهُ بهذا الخيرِ ، فهل بعد هذا الخيرِ من شرٍّ ؟ قال : ( نعم ) . قلتُ : وهل بعد ذلك الشرِّ من خيرٍ ؟ قال : نعم ، وفيه دَخَنٌ ) . قلتُ وما دَخَنُهُ ؟ قال : ( قومٌ يهدونَ بغيرِ هديي ، تعرفُ منهم وتُنكر ) . قلتُ : فهل بعد ذلك الخيرِ من شرٍّ ؟ قال : ( نعم ، دعاةٌ إلى أبوابِ جهنمَ ، من أجابهم إليها قذفوهُ فيها ) . قلتُ : يا رسولَ اللهِ ، صِفْهُمْ لنا ؟ فقال : ( هم من جلدتنا ، ويتكلَّمونَ بألسنتنا ) . قلتُ : فما تأمرني إن أدركني ذلك ؟ قال : تَلْزَمُ جماعةَ المسلمينَ وإمامهم ، قلتُ : فإن لم يكن لهم جماعةٌ ولا إمامٌ ؟ قال : ( فاعتزلْ تلك الفِرَقَ كلَّها ، ولو أن تَعَضَّ بأصلِ شجرةٍ ، حتى يُدرككَ الموتُ وأنت على ذلك )
Orang ramai lazimnya bertanya kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam tentang kebaikan. Aku pula bertanyakan baginda tentang kejahatan kerana khuatir terjebak dengannya.
Lalu aku bertanya, “wahai Rasulullah, dahulunya kami berada dalam jahiliah dan kejahatan, kemudian Allah mendatangkan kebaikan ini (perutusan Islam oleh Muhammad), apakah selepas kebaikan ini ada lagi kejahatan?”
Baginda menjawab, “ADA”
Aku bertanya lagi, “apakah selepas kejahatan itu ada lagi kebaikan?”
Baginda menjawab, “ADA. Akan tetapi ia diselubungi asap”
Aku bertanya, “apakah asap itu?”
Baginda menjawab, “iaitulah kaum yang mengambil petunjuk bukan daripada petunjukku. kamu tahu siapa mereka dan kami mengingkarinya”
Aku bertanya lagi, “apakah selepas kebaikan (yang diselubungi asap) itu ada pula kejahatan (yang seterusnya)?”
Baginda menjawab, “ADA. Iaitulah pendakwah ke pintu Jahannam. Sesiapa yang menyahut seruan tersebut akan dicampakkan ke Jahannam”
Huzaifah berkata, “Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami karakter mereka”
Baginda menjawab, “mereka itu kulitnya seperti kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita sendiri”
Huzaifah bertanya, “apakah yang engkau perintahkan seandainya aku bertemu dengan zaman itu?”
Baginda menjawab, “hendaklah engkau beriltizam dengan kesepakatan (jemaah) kaum Muslimin dan imam-imam mereka”
Huzaifah bertanya, “apakah yang perlu aku lakukan jika ketika itu tiada jemaah dan tiada imam?”
Baginda menjawab, “tinggalkan kesemua kelompok itu walaupun engkau terpaksa berkeadaan menggigit akar pokok, sehinggalah maut mendatangimu dan engkau kekal dalam keadaan itu”
Hadih riwayat al-Bukhari, no. 3606.
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." [Q11:88]
No comments:
Post a Comment