kredit foto : http://blogs.kent.ac.uk/change-academy
Apabila Islam berinteraksi dengan politik, ia menghasilkan perkembangan tamadun yang sangat pesat.
Siyasah...
Misal kecil boleh dilihat pada bai'ah yang asalnya berlaku secara berjabat tangan rakyat dengan khalifah di Tsaqifah Bani Sa'idah, berubah kepada bai'ah yang berlaku secara senyap, memandangkan kepada besarnya pertambahan penduduk di zaman Abbasiyyah (sebagai contoh) berbanding dengan zaman Abu Bakr al-Siddiq r.a.
Bukan hanya kepada aspek teknikaliti urus tadbir, idea yang melandasi politik juga mengalami perkembangan yang pesat. Bentuk politik bukan hanya seperti apa yang terjadi di era al-Khulafa al-Rashidin, ia turut mengalami pelbagai perkembangan di era Bani Umayyah, Abbasiyyah, kerajaan-kerajaan Islam di Andalus, Mamluk di Mesir, Mughal di India, Osmanli di Turki, malah juga Safavid Shiah di Iran dan senarai itu berterusan.
Kunci besar upaya Islam berinteraksi dengan perkembangan masa ialah gabungan antara dua dimensi Syariat Islam iaitu pada dasar-dasar yang tetap, bersama cabang-cabang yang anjal. Menjelang era moden, cabaran makin bertambah. Tokoh-tokoh terkenal seperti Tahtawi, al-Afghani, Muhammad Abduh, Muhammad Rashid Ridha hinggalah ke era Hasan al-Banna, idea politik Islam itu terus berkembang dan tangkas menangani cabaran yang pelbagai.
Sehingga ke era Millenia, perkembangan itu masih terus berlaku. Jika diambil Turki sebagai contoh, betapa pesatnya transformasi berlaku di zaman Millî Görüş dalam manifesto Necmettin Erbakan pada tahun 1969, berbanding dengan perubahan yang berlaku di era Erdemililer Hareketi (Movement of the Virtuous) pada waktu Erdogan hari ini. Semuanya diwacanakan dengan prinsip-prinsip, falsafah, memahami situasi semasa, dengan berakar umbikan dasar-dasar yang dipaksikan kepada al-Quran dan al-Sunnah.
PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan parti politik yang mewacanakan Islam dalam agendanya, turut bergerak di atas kerangka itu. Justeru, apa sahaja keputusan besar yang hendak dibuat, bersesuaian dengan Fasal 3 Perlembagaan PAS, ia dilakukan dengan teliti, bukan hanya sesama pemimpin di dalam parti, malah turut sama disertai oleh tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa.
REFORMASI 1998
Teringat saya semasa berada di London, di era Reformasi 1998, PAS ketika itu mengalami kejutan besar, dan didesak oleh keadaan untuk menyemak kembali strategi dan pembawaannya. Bolehkan sebuah jemaah Islam, dan seterusnya Parti yang menjadikan Islam sebagai dasarnya, bekerjasama dengan DAP? PAS berkeupayaan untuk membuat keputusan sendiri. Tetapi atas semangat syura dan menyelesaikan semua sisi pandang berdasarkan pengalaman berbeza gerakan-gerakan di negara lain, pemimpin PAS bersidang di Leicester, UK bersama tokoh-tokoh ulung, termasuk al-'Allamah Sheikh Yusof al-Qaradhawi, bagi mendapatkan saranan dan panduan.
Hasilnya memberangsang. Apa yang diperolehi bukan hanya keputusan berkaitan dengan kerjasama dengan DAP, malah turut serta dalam persidangan itu, harapan yang disampaikan oleh gerakan-gerakan Islam lain, untuk mempelajari pengalaman PAS yang dianggap unik, kerana ia bergerak sebagai sebuah Parti yang dasarnya Islam, di sebuah negara yang hampir separuh penduduknya adalah non-Muslim. Ini menjadikan pengalaman PAS unik.
Bukan hanyan sesama tokoh alim ulama', perkembangan gerakan Islam juga diwacanakan oleh sarjana-sarjana Barat. Nama-nama seperti John L Esposito, Noah Feldman dan Roxanne L. Euben, banyak membicarakan tentang perkembangan Islam dan politik.
Justeru, perubahan yang berlaku daripada era 1990'an membawa kepada 2013, telah menyaksikan PAS bergerak mewacanakan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan, hinggalah kepada mencalonkan non Muslim di dalam Pilihanraya ke-13 akan datang.
Perubahan ini adalah kesinambungan perkembangan yang sudah sepanjang zaman berlaku.
Hanya yang malas atau meremehkan ilmu dan kebenaran, membuat kesimpulan pincang.
Kata mereka PAS sudah berubah!
Mereka 'tidak berbohong'. Mereka 'berkata benar'. Bahawa sesungguhnya memang PAS sudah berubah. Berubah ke arah yang lebih baik,
Yang enggan berubah, itu yang harus diubah.
Daripada parti yang memerintah, kepada menjadi pembangkang yang akhirnya terpaksa berubah.
Orang yang berubah kerana terpaksa adalah mangsa. Tetapi orang yang berjaya, adalah orang yang memaksa diri untuk berubah.
Selamat tinggal barisan anti perubahan!
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." [Q11:88]
Perubahan akan dibanttah oleh mereka yg tak mahu berubah dalam pas. Dan jd peluru sesat bn. Ini ujian kita sbg ahli pas utk menerangkan. Tq ust.
ReplyDeletewujudkah "negara kita" ini? saya buta ustaz...
ReplyDeleteJangan nak kata perubahan dalam PAS, dasar-dasar berkaitan politik Islam pun ada 'pihak' yang tak tahu lagi. Masih dalam kerangka perjuangan Nasionalisnya yang telah lama luput tarikhnya.
ReplyDelete