Dengan latar belakang Melayu, PAS dan berijazah Pengajian Islam dari Negara Arab, saya tidak mendapat 'kelebihan' sesetengah rakan yang mungkin selesa untuk hanya berfikir tentang PAS, Tarbiyah, Ulama, dan Islam.
Saya perlu bersikap realistik bahawa saya mengundi sama ada DAP atau MCA.
Menggunakan pengalaman hidup di perantauan dan bekerja bersama kerajaan bukan Melayu, bukan Muslim di United Kingdom, sebagai pegawai agama di Masjid Belfast, Ireland Utara, ia menjadi langkah pertama yang membuka tempurung kepala saya untuk menilai kualiti seseorang bukan hanya dengan neraca agama selapis, tetapi menilai integriti dan kompetensi dalam kerangka yang lebih universal.
Jika tidak kerana gergasinya kuasa persepsi dalam masyarakat Malaysia, mahu sahaja saya menawarkan diri menjadi aktivis DAP. Namun bolehkah seorang 'ustaz DAP' berkuliah Maghrib di masjid?
Justeru cukuplah buat masa ini, kerjasama padu antara PAS, PKR dan DAP, saya berpijak di bumi yang nyata, bersama Allah dalam segunung pergantungan harapan dan tawakkal diri.
Hapuskan korupsi Melayu, Cina dan India Barisan Nasional yang menindas kita semua, serta mengkhianati sejarah perjuangan tokoh mereka sendiri semenjak Merdeka.
Berusahalah untuk keluar dari zon selesa, menuju Malaysia yang lebih bermaruah!
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali." [Q11:88]
No comments:
Post a Comment